himpunan doa

Pages

Friday 5 August 2011

TOLONG SAMPAIKAN PADA SI DIA

Tolong beritahu si dia
aku ada pesanan buatnya..
Tolong beritahu si dia,
cinta agung adalah cintaNya..
Tolong beritahu si dia,
cinta manusia bakal membuatnya alpa..


Tolong nasihati si dia,
jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa..

Tolong nasihati si dia,
jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa..
Tolong nasihati si dia,
jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya..
Tolong ingatkan si dia,
aku terpikat kerana imannya bukan rupa..
Tolong ingatkan si dia,

aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta..
Tolong ingatkan si dia
aku kasihinya kerana santunnya..

Tolong tegur si dia,
bila dia mula mengagungkan cinta manusia..
Tolong tegur si dia,
bila dia tenggelam dalam angan-angannya..

Tolong tegur si dia,
andai nafsu mengawal fikirannya..

Tolong sedarkan si dia,
aku milik Yang Maha Esa..
Tolong sedarkan si dia,
aku masih milik keluarga..

Tolong sedarkan si dia,
tanggungjawabnya besar kepada keluarganya..

Tolong sabarkan si dia,
usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana..
Tolong sabarkan si dia,
andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta..
Tolong sabarkan si dia,
bila jarak mejadi penyebab bertambah rindunya..

Tolong pesan padanya,
aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya..
Tolong pesan padanya,
aku tak mahu menjadi punca kegagalannya..
Tolong pesan padanya,
aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya..


Tolong khabarkan pada si dia,
aku tidak mahu melekakan dia..
Tolong khabarkan pada si dia,
aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya..

Tolong khabarkan pada si dia,
jadilah penyokong dalam kejayaanku..

Tolong sampaikan pada si dia,
aku mendambakan cinta suci yang terjaga..

Tolong sampaikan pada si dia,
cinta kerana Allah tidak ternilai harganya..

Tolong sampaikan pada si dia,
hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa..
Tolong sampaikan kepada si dia
kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri...
Hanya engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia..
Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa
dan di mana si dia..

Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa
memasuki taman larangan dengan sopan santunnya
dan bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya..
Simpanlah pesanan ku ini

JANGAN TENGGELAM DI DALAM USAHA KEDUNIAAN


Umar bin Al-Khattab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah berbaring di atas tikar dan tidak apa-apa di antara tubuh Baginda SAW dan tikar itu.Di bawah kepalanya terdapat bantal yang dibuat dari kulit yang diisikan dengan gentian pokok tamar dan di hujung kakinya terdapat daun-daun kering (acaccia nilociica yang digunakan untuk mencelup dan berinai).Berhampiran kepalanya pula tergantung kulit binatang (yang telah disamak).Aku melihat kesan-kesan tikar di tubuh Rasulullah s.a.w dan aku telah menangis.Baginda SAW telah bertanya;"Apakah yang menyebabkan engkau menangis?".Aku berkata;"Wahai Rasulullah!Khisro dan Khaisar (Raja Parsi dan Rom) menghabiskan kehidupan mereka di dalam kemewahan sedangkan kamu Pesuruh Allah(menjalani kehidupanmu di dalam kemiskinan)".Justeru Rasulullah SAW berkata;"Tidakkah kamu suka bahawa mereka mempunyai kekayaan dunia dan kamu memiliki kekayaan di akhirat?".
                                                                                                                                     (H.R Muslim)

       Sehubungan dengan ini Allah SWT telah berfirman;

"Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.Dan orang-orang yang kafir itu bersenang-senang(di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang.Dan neraka adalah tempat tinggal mereka."
                                                                                                                                    (Q.S Muhammad:12)

     Ini tidaklah bermakna bahawa umat Islam telah ditentukan hidup di dalam keadaan kefakiran dan kemiskinan di dunia ini dan bukan Islam hidup di dalam kemewahan dan kesenangan.Apa yang tersirat adalah seorang Islam hendaklah hidup dengan ideal iaitu perhambaan untuk alam akhirat dan tidak merempat di dalam kehidupan dunia.Seorang Islam mestilah meletakkan di hadapannya ketinggian kerohanian dan tidak membiarkan dirinya diperangkap oleh jerat kehidupan dunia.Adalah agak menghairankan untuk difahami bahawa seseorang yang mempunyai maksud pengabdian yang kekal abadi di hadapannya tidak boleh melibatkan dirinya di dalam usaha kebendaan.Seseorang yang memandang kepada kemewahan kebendaan dan kekayaan dunia sebagai pencapaian tertingginya di dalam kehidupannya adalah tidak sihat dari sudut kerohanian dan adalah orang yang rugi di akhirat.

     Al-Quran telah menyatakan perbualan di antara penghuni-penghuni syurga dan neraka,di mana penghuni neraka akan menceritakan mengenai kelemahan-kelemahan dan tindak tanduk jahat mereka yang mencampakkan mereka ke dalam neraka jahannam sebagaimana firman Allah SWT;

       "(golongan kanan)berada di dalam syurga,mereka tanya-menanya tentang (keadaan)orang-orang yang berdosa;Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar(neraka)?,Mereka menjawab;Kami dahulu tidak termasuk orang-orang mengerjakan solat,dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin dan adalah kami membicarakan yang batil bersama dengan orang-orang yang membicarakannya dan adalah kami mendustakan hari pembalasanhingga datang kepada kami hari kematian."
                                                                                                                           (Q.S Al-Muddatsir:40-47)

     Oleh itu kita mestilah mengambil pengajaran daripada kehidupan yang singkat ini dan dengan ikhlas bertaubat dari segala dosa-dosa yang telah kita lakukan dan berusaha untuk membuat persiapan bagi kehidupan akhirat yang kekal abadi dari kehidupan yang sebenarnya.Al-Quran telah menemui jalan keluar kelemahan masa lalu dan dosa-dosa kita dengan nasihat-nasihatnya:

       "Katakanlah!Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah,Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong(lagi)."
                                                                                                                                (Q.S Az-Zumar:53-54)

       Juga firman Allah SWT;

       "Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat,yang beribadat,yang memuji (Allah),yang melawat,yang ruku',yang sujud,yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah berbuat kemungkaran dan yang memelihara hukum-hukum Allah.Dan gembirakanlah orang-orang yang Mukmin itu."
                                                                                                                                   (Q.S At-Taubah:112)

     Kita amat tamak pada hari ini mengumpulkan harta kekayaan dan hasrat untuk melonggokkannya umpamanya alat-alat eletrik,perabut,bahan-bahan makanan manakala Aishah r.ha telah berkata sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim iaitu;keluarga Muhammad tidak mempunyai roti barli yang mencukupi untuk mereka bagi dua hari berturut-turut sehinggalah Rasulullah SAW wafat.

     Telah diriwayatkan bahawa apabila Salman r.a berada di ambang maut beliau telah menangis teresak-esak.Seseorang telah cuba mententeramkannya sambil berkata bahawa beliau akan berjumpa dengan Rasulullah SAW yang akan redha dengannya apabila meninggalkan dunia ini.Tetapi Salman telah berkata bahawa beliau menangis kerana Rasulullah SAW telah mengambil sumpah dari mereka bahawa mereka akan hidup di dunia hanya seperti seorang pengembara tanpa berusaha memperolehi kekayaan dunia kecuali di dalam jumlah yang diperlukan olah seorang pengembara itu.Beliau amat sedih ketika tidak dapat memenuhi sumpah itu.Walau bagaimanapun di waktu kematiannya didapati bahawa nilai harta yang dimilikinya di dalam rumah itu hanyalah 10 Dirham.Hanyalah itulah harta yang dimiliki yang pada pendapatnya beliau telah memiliki kekayaan dunia ini dengan berlebihan.

       Al-Mustaurid bin syaddad telah berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda;"aku bersumpah dengan nama Allah bahawa perbezaan di antara dunia ini dengan akhirat adalah sebagaimana seorang memasukkan jarinya ke dalam air laut,biarlah ia pertimbangkan apa yang tinggal di jarinya."
                                                                                                                                                (H.R Muslim)

     Jari yang ditarik keluar dari air kaut itu tidak membawa keluar apa-apa.Oleh itu seseorang yang tenggelam di dalam kehidupan dunia lupa akan kehidupan akhirat tidak akan memperolehi apa-apa pun di akhirat.kemewahan dunia hanya sementara dan tidak berkekalan. Dengan demikian seseorang itu janganlah dia merungut akan kekurangannya lantaran Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya;"Dunia ini  adalah dilaknat dan dilaknati barang apa yang apa yang dalamnya kecuali zikrullah(mengingati Allah) dan barang apa yang disukainya(oleh Allah),orang yang berilmu dan belajar agama."(H.R Muslim).

     Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melewati seekor kambing yang telah terpotong telinganya Baginda SAW telah bertanya sama ada ada sesiapa yang ingin membelinya dengan harga sedirham.Apabila Baginda SAW menerima jawapan bahawa tiada seorang pun ingin membelinya dengan sebarang harga jua pun Baginda SAW bersabda;"Aku bersumpah dengan Allah bahawa dunia ini adalah lebih rendah nilainya di sisi Allah dari kambing yang mati ini."
                                                                                                                                               (H.R Muslim)

     Ini adalah nilai dunia ini yang begitu kita kejari demi memperolehi ketidakberuntungannya!

     Sahl bin Sa'ad telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:- "Sekiranya dunia ini mempunyai nilai sekepak nyamuk di sisi Allah,pasti ia tidak akan memberikan orang kafir minum airnya."
                                                                                                          (H.R Ahmad,Tirmidzi dan Ibnu Majah)

     Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;"Neraka diliputi oleh perkara-perkara yang meruntum nafsu manakala syurga diliputi oleh perkara-perkara yang tidak disukai oleh nafsu."

     Ini bermaksud bahawa mengikut kebuasan nafsu dan kenikmatan dunia yang nampak manis dan memikat hati berkesudahan dengan neraka.Sebaliknya kemasukan ke dalam syurga akan diperolehi dengan membatasi keinginan nafsu;melawan godaan syaitan dan menolak keinginan naluri yang merupakan tugas yang berat tetapi menjanjikan ganjaran yang besar di alam akhirat.

     Hadis di atas sepatutnya membuka mata kita.Dari masa ke semasa Al-Quran memberitahu kita supaya sedar akan nilai dan kepentingan kehidupan akhirat dan menyediakan diri kita untuknya dengan usaha yang bersungguh-sungguh.Allah SWT telah berfirman;

       "Barang siapa mengkehendaki kehidupan sekarang(duniawi) maka kami segerakan baginya di dunia itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan kami tentukan baginya neraka Jahanam,ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir,dan barang siapa mengkehendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang dia adalah Mukmin,maka mereka itu adalah orang yang usahanya dibalasi dengan baik."
                                                                                                                                    (Q.S Al-Israa:18-19)

       Juga firman-Nya;

       "Barang siapa mengkehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa mengkehendaki keuntungan di dunia kami berikan kepadanya sebahagian di akhirat."
                                                                                                                                    (Q.S Asy-Syuura:20)

     Rasulullah SAW telah membaca Al-Quran di atas (ayat 20 surah Asy-Syuura) dan bersabda;"Allah telah berfirman; "Wahai anak Adam! Dambakanlah diri kamu dengan beribadat dan Aku akan melapangkan dada kamu dari kesempitan dunia dan Aku menghapuskan kemiskinan kamu jika tidak Aku akan penuhkan hati kamu dengan beribu-ribu kebimbangan dan tidak akan menghapuskan kebimbangan kamu." Sabdanya juga dikuatkan pula oleh ayat ke 24 Surah Thaha yang bermaksud;Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanku(Al-Quran) baginya kehidupan yang sempit."

     Apa yang ditekankan di sini adalah bahawa kehidupan dunia ini adalah amat singkat.Oleh itu,kita mestilah berusaha dengan segala keupayaan kita memperbaiki diri kita dan menyuruh orang-orang lain juga (memperbaiki diri masing-masing) lantaran zaman ini,kecintaan kepada Islam semakin pudar dan dengan berlalunya masa.Kewajipan fardu bukan sahaja telah diadaikan oleh orang-orang awam bahkan juga oleh Islam  telah terjerumus ke dalam memperkatakan mengenai kelalaian mereka untuk bersolat,berpuasa dan membayar zakat namun begitu mereka tidak pernah segan akan amalan syirik yang ada pada mereka.Melanggari batasan-batasan agama telah menjadi lumrah harian.

     Di dalam keadaan yang genting ini mereka yang masih mempunyai rasa takwa kepada Allah SWT menubuhkan jemaah-jemaah demi menghidupkan kembali cahaya keimanan di dalam hati-hati umat Islam.Setiap perkara dan perbuatan yang telah dilarang oleh allah SWT mestilah dijauhi.Ingatlah!Bahawa setiap dosa merupakan asas ataupun akan kepada dosa-dosa lain yang mencernakan kerosakan di dalam kehidupan rumah tangga dan masyarakat.Marilah kita menjawab seruan illahi sebelum segala-galanya terlewat,menurut di dalam firman Allah;

       "Wahai orang-orang yang beriman!Jika kamu bertakwa kepada Allah,nescaya dia akan memberikan kepadamu furgan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni(dosa-dosamu).Dan Allah mempunyai kurnia yang besar."
                                                                                                                                       (Q.S Al-Anfaal:29)

~wassalam~

Monday 1 August 2011

Renungan Ramadhan



     Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan.  Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.  Umumnya Ramadhan disambut meriah di Malaysia.  Masjid dan surau akan dibanjiri oleh jemaah yang bersolat terawih. Untuk menambahkan manfaat dari perhimpunan jemaah setiap malam, ada masjid dan surau yang mengadakan majlis renungan atau ceramah pendek atau tafsir pendek.  Ini merupakan satu  amalan yang baik kerana ia akan menjadikan majlis solat terawih sebagai satu medan bukan sahaja untuk beribadat bahkan juga medan untuk berkongsi Ilmu  dan ingat memperingati.  Sesuai dengan firman Allah bermaksud: 



 “ Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman"

(Surah Azzariyat: 57)

Dan firman-Nya lagi: 

“Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat dengan sabar".

 (Surah Al-Asr: 1-3)




RENUNGAN RAMADHAN 1

Saudara-saudari yang dirahmati Allah, 

     Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan.  Inilah yang sering kita doakan : 

“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” 

Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat terawih, salah satu sunnah yang amat diberatkan di bulan Ramadhan.  Semoga Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadhan dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih. 
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,Rasulullah (saw)  diriwayatkan  sebagai bersabda  ketika menjelang Ramadhan bermaksud: 

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan  ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan,  Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. 
Sesiapa yang tidak  berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”   
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai) 

Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap menjelangnya Ramadhan. Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini.Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya. 

Rasullullah (saw)  menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal  begitu luas terbentang,  jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang  tiada-tolok bandingnya.Nah.. jika  begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita menerima tawaran dan pemberian Allah ini?  Mahukah kita menjadi hamba-Nya yang mendapat keberkatan lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang  bersamaan lebih 83 tahun.. mungkin  melampaui kadar umur kita?

Sebaliknya ingatlah pesanan di hujung hadis  tersebut: 

“Sesiapa yang tidak  berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi”. 

Saudara-saudari yang dirahmati Allah, 

     Maka pada malam ini, marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak mungkin keberkatan di bulan Ramadhan.  Pada malam ini,  kita tingkatkan komitment kita untuk  rakus dan haloba mencari pahala. Malam ini juga kita pasang  janji kita untuk  berlumba memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk  beramal dan beribadah. Pada malam ini kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong ke dalam golongan yang rugi.

Thursday 28 July 2011

~Kalau Bukan Kerana Dia.......~


"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai", dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri orang. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa.
Perasaanku?
Entahlah.
Segalanya bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Makin lama, makin laju pula butiran kecil itu bermain polisentri di pipi tembamku.
Abdul Rahman bin Abdullah, ya itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina.
Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Wajahnya tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang.
Dia memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Boleh dikatakan, tidak pernah dia terlepas untuk bersama-sama menyertai jemaah di masjid tiap kali sang kekasih hati memanggil pada tiap-tiap waktu. Bahkan, usai sahaja dia melafazkan akad, terus dia lakukan sujud syukur.
Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Kenapa aku? Dia begitu baik, begitu alim, begitu........ Ah! Senang cerita, orang kata : "perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik". Aku sendiri pernah terjumpa ayat Al-Quran yang menyatakan sebegitu.
Sampai sekarang aku masih belum mendapat jawapannya.
Kenapa aku yang dipilihnya?
Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, nun... Di luar sana, masih ada berjuta yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik dari ku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun aku masih tidak pecus lagi. Kadang, masih lagi tidak mengikut saranan agama. Mahu diceritakan bab solat, huh! Solat itu iya. Memang aku tidak pernah tinggal. Takut aku dengan Tuhan. Tapi, nak akhir-akhir waktu baru lah ku capai sejadah dan sepasang persalinan putih itu.
"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya titisan-titisan jernih yang keluar dari kelopak mataku.
Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.
"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.
*****
"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya sang suami memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.
Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku. "Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?" Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.
Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.
Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku, justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan. Sudahlah kacak, baik pula tu'.
Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau kamu tidak selesa Abang faham. Ni kali pertama kamu hidup tanpa parents kan. Tambah-tambah lagi mahu hidup dengan seorang lelaki dalam suasana baru. Abang faham Zahrah. Susah bagi kamu nak terima semua ni. Tapi, dari tadi tidak sekali pun Abang nampak kamu senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum."
Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia. Gadis yang kalau ditanya orang, memang tidak ada seorang pun yang sanggup bermenantukanku. Aku perlu tahu! Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu keYe lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni sebagai bidan terjun. Dari tak ada langsung baik diambilnya aku sebagai isteri, kan? Aku tak boleh berdiam lagi. Aku mahukan jawapan!
"Hmm.... Awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.
"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami  diikuti ketawa kecil.
"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.
 "Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum."
"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?" bentakku.
"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?"
Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Entah. Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.
"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?"
"Zahrah nak tahu? Betul ni?"
Aku diam sahaja tanda protes mengharapkan dia mengerti bahawa aku benar-benar serius mahu mendengar jawapannya. Gigiku kuketap menegaskan lagi betapa seriusnya aku ketika itu.
"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah"
"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. Saya tak mahu jawapan seketul. Saya mahu penerangan, boleh? Sebab saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice. I'm tired of being the person who people'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku keras. Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.
"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada."
Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya.
Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya yang berwarna merah jambu, bersih dari kotoran nikotin.
"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang"
Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.
"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara."
"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah."
"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? Sekarang kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"
"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..."
Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."
Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk sahaja mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini dapat mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.
"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh." ujarku terketar-ketar dalam tangisan.
Sang suami hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak lagsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang." terangku satu persatu.
"Abang, Zahrah minta maaf sangat-sangat sebab termakan pujuk rayu syaitan durjana. Maafkan Zahrah, Abang."
"Zahrah, sudahlah tu. Manusia memang sentiasa buat silap. It's okay to make mistakes but don't forget to learn something from that mistakes. Sekarang, Zahrah percayakan Abang?"
Aku mengangguk tanda setuju.  Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi.
Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya.
Terima kasih, Ya 'Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu.
Terima kasih, Ya Allah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...