himpunan doa

Pages

Thursday 28 July 2011

~Kalau Bukan Kerana Dia.......~


"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai", dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri orang. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa.
Perasaanku?
Entahlah.
Segalanya bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Makin lama, makin laju pula butiran kecil itu bermain polisentri di pipi tembamku.
Abdul Rahman bin Abdullah, ya itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina.
Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Wajahnya tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang.
Dia memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Boleh dikatakan, tidak pernah dia terlepas untuk bersama-sama menyertai jemaah di masjid tiap kali sang kekasih hati memanggil pada tiap-tiap waktu. Bahkan, usai sahaja dia melafazkan akad, terus dia lakukan sujud syukur.
Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Kenapa aku? Dia begitu baik, begitu alim, begitu........ Ah! Senang cerita, orang kata : "perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik". Aku sendiri pernah terjumpa ayat Al-Quran yang menyatakan sebegitu.
Sampai sekarang aku masih belum mendapat jawapannya.
Kenapa aku yang dipilihnya?
Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, nun... Di luar sana, masih ada berjuta yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik dari ku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun aku masih tidak pecus lagi. Kadang, masih lagi tidak mengikut saranan agama. Mahu diceritakan bab solat, huh! Solat itu iya. Memang aku tidak pernah tinggal. Takut aku dengan Tuhan. Tapi, nak akhir-akhir waktu baru lah ku capai sejadah dan sepasang persalinan putih itu.
"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya titisan-titisan jernih yang keluar dari kelopak mataku.
Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.
"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.
*****
"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya sang suami memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.
Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku. "Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?" Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.
Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.
Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku, justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan. Sudahlah kacak, baik pula tu'.
Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau kamu tidak selesa Abang faham. Ni kali pertama kamu hidup tanpa parents kan. Tambah-tambah lagi mahu hidup dengan seorang lelaki dalam suasana baru. Abang faham Zahrah. Susah bagi kamu nak terima semua ni. Tapi, dari tadi tidak sekali pun Abang nampak kamu senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum."
Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia. Gadis yang kalau ditanya orang, memang tidak ada seorang pun yang sanggup bermenantukanku. Aku perlu tahu! Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu keYe lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni sebagai bidan terjun. Dari tak ada langsung baik diambilnya aku sebagai isteri, kan? Aku tak boleh berdiam lagi. Aku mahukan jawapan!
"Hmm.... Awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.
"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami  diikuti ketawa kecil.
"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.
 "Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum."
"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?" bentakku.
"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?"
Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Entah. Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.
"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?"
"Zahrah nak tahu? Betul ni?"
Aku diam sahaja tanda protes mengharapkan dia mengerti bahawa aku benar-benar serius mahu mendengar jawapannya. Gigiku kuketap menegaskan lagi betapa seriusnya aku ketika itu.
"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah"
"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. Saya tak mahu jawapan seketul. Saya mahu penerangan, boleh? Sebab saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice. I'm tired of being the person who people'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku keras. Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.
"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada."
Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya.
Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya yang berwarna merah jambu, bersih dari kotoran nikotin.
"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang"
Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.
"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara."
"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah."
"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? Sekarang kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"
"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..."
Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."
Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk sahaja mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini dapat mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.
"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh." ujarku terketar-ketar dalam tangisan.
Sang suami hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak lagsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang." terangku satu persatu.
"Abang, Zahrah minta maaf sangat-sangat sebab termakan pujuk rayu syaitan durjana. Maafkan Zahrah, Abang."
"Zahrah, sudahlah tu. Manusia memang sentiasa buat silap. It's okay to make mistakes but don't forget to learn something from that mistakes. Sekarang, Zahrah percayakan Abang?"
Aku mengangguk tanda setuju.  Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi.
Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya.
Terima kasih, Ya 'Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu.
Terima kasih, Ya Allah!

Indahnya Aturan-Mu Ya Allah


"Ya Allah, aku tidak mampu."
Ada kalanya inilah antara bait-bait kata yang akan terungkap di bibir kita tatkala diuji oleh ujian-NYA.
Sahabatku, di kala hatimu mendung bagaikan awan yang berat dengan titisan-titisan air, yakinlah ada cahaya mentari yang akan menyinari hidupmu selepas itu kerana Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Seringkali kita terlupa untuk memikirkan hikmah di sebalik apa yang menimpa kita kerana kita terlalu fikirkan kesedihan di hati.
Di mana Allah di hati kita tatkala kesedihan itu bermaharajalela? Adakah kita masih ego untuk menadah tangan kepada-Nya terutamanya di sepertiga malam memohon dan bermunajat kepada-NYA?
Sahabat.. indahnya aturan Allah itu tidak dapat dinilai oleh mata hati yang leka dengan kehidupan dunia.
Di saat kita terleka, Allah turunkan ujian tanda sayangnya Allah kepada kita kerana hanya dengan ujian hati kita akan lebih terarah kepada mengingati Allah dan bermunajat kepada-NYA.
Bukankah Allah sudah berfirman dalam surah Ar Ra'd : Ayat 28 :
"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."[QS. 13:28]
Teruskanlah keyakinan kita dengan indahnya aturan Allah tetapkan kepada kita.
Dengan sifat redha dan bersabar serta berusaha untuk membaiki keadaan ke arah yang lebih baik adalah kata kunci kepada kehidupan yang diredhai Allah. Keyakinan terhadap indahnya aturan yang Allah tetapkan adalah keyakinan yang mampu membuatkan semangat kita tidak pernah luntur.
Yakinlah sahabat, Allah menyayangimu. Allah merindui ratapanmu kepada-NYA di setiap sujudmu. Allah merindui munajatmu terhadap-Nya di sepertiga malam di kala semua orang sedang nyenyak tidur.
Buatmu sahabat, Allah menyayangi dan mendengar setiap bait doa-doa kita.
Ikhlaskan diri dengan sentiasa berdoa kepada-Nya. Luahkanlah segala isi hatimu kepada-NYA.
Yakinlah, tiada apa yang perlu diragukan dan bertawakallah kepada-Nya, kepada Tuhan yang menciptakan dirimu, diri kita dan juga sekalian alam ini.
Yakinlah, indahnya tawakal kepada-Nya dan halawatul Iman itu akan dapat dirasai oleh orang yang melihat dengan mata hatinya.
Indahnya aturan-MU ya Allah.

Monday 25 July 2011

SEKIRANYA ALLAH TERTIDUR


Diriwayatkan dalam sebuah kitab kaum Nabi Musa A.S. ada bertanya kepadanya,"Adakah Tuhan kamu itu pernah tidur wahai Musa?" Nabi Musa lalu menerangkan sebagaimana yang terkandung di dalam kitab Taurat.Firman Allah,"Dia ( Allah),tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur."

       Kemudian kaumnya bertanya lagi,"Mustahil Tuhan kamu itu tidak pernah tidur." Allah S.W.T lalu menyuruh Nabi Musa mengambil dua biji botol dan botol itu diisi dengan air sehingga penuh dan ianya dipegang..kemudian Allah pun menidurkan Nabi Musa.Semasa tidur,tanpa disedarinya maka terjatuhlah botol yang sedang dipegangnya itu pecah berderai.

       Allah pun berfirman,"Wahai Musa! Katakanlah kepada umatmu, sekiranya Aku tertidur, maka akan binasalah seluruh alam ini."

Sunday 24 July 2011

Musibah : Jalan Menuju Kebahagiaan


Musibah seringkali ditakrifkan sebagai ujian, bencana, atau balasan daripada Allah SWT. Pelbagai bentuk musibah berlaku seperti kehilangan orang yang disayangi, kemusnahan harta benda, keruntuhan rumahtangga, kegagalan dalam perencanaan atau sebagainya. Impak daripada musibah ini boleh merubah situasi seseorang bergantung kepada tahap penerimaan mereka.
Sekiranya diterima secara positif, maka musibah dapat memberi kesan yang baik. Akan tetapi sekiranya individu yang ditimpa musibah mengambil peristiwa itu secara negatif maka ia boleh jadi membawa kehancuran yang merugikan. Oleh itu, kita seharusnya mendalami situasi musibah itu supaya ia dapat membawa kesejahteraan.
Apakah yang harus kita lakukan apabila ditimpa masalah atau musibah ? Apakah dengan merasa sedih, keluh kesah dan membinasakan diri sendiri dapat menyelesaikan sesuatu perkara. Jawapannya adalah dengan kembali kepada Allah.Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.Firman Allah SWT :
"Tiada sesuatu musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izinNya.. Dan barangsiapa yg beriman kepada Allah nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya..."( At-Taghabun:11).
Kita seharusnya redha dengan apa yang berlaku kerana ia merupakan qada dan qadar daripada Allah. Seharusnya seseorang yang beriman tidak boleh mengatakan Allah itu tidak adil semata-mata kerana musibah yang menimpa dirinya begitu pedih untuk ditanggung. Kita tidak berhak untuk memilih dugaan atau musibah itu sesuai dengan kehendak kita.
Ini kerana Allah Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yg bermaksud:.
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.".
Apabila Allah menimpakan musibah kepada kita, itu sebenarnya tanda Allah kasih kepada kita. Ia juga merupakan suatu ujian penilaian keimanan diri, sejauh mana kita benar-benar beriman atau keimanan kita begitu nipis sehingga hanya dengan sedikit dugaan, hati kita berubah.Cuba renungkan firman Allah ini:
"Dan, sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah:155).
Setiap manusia mempunyai titik tolak dalam kehidupannya. Maka apabila ditimpa musibah eloklah kita iktikadkan dalam hati, bahawa inilah titik permulaan dalam hidup kita. Barangkali musibah yang melanda merupakan suatu isyarat daripada Allah untuk kita bermuhasabah diri bagi membuat perubahan. Ringkasnya apa yang telah berlaku itu mempunyai hikmah yang harus di nilai. Kita harus memperbanyakkan beristighfar, membaca selalu innalillahhiwainnailaihirajiuun dan sebagainya.
Disamping itu, jadikan Alquran, sebagai teman. Berdoalah kepada Allah untuk memohon bantuan, dan diberikan keringanan dalam urusan. Firman Allah dalam surah Al-Mukmin ayat 60 yg bermaksud:
"Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu".
Bagi mengelakkan kita dari terus mengingati situasi sedih yang dihadapi maka kita hendaklah melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti melibatkan diri dengan aktiviti masyarakat, menghadiri ceramah, mengunjungi saudara mara dan sebagainya. Seterusnya kita hendaklahbertawakkal kepada Allah setiap masa dalam apa jua keadaan.Firman Allah dlm surah Al-Maidah ayat 23:
"...dan hanya kepada Allah lah hendaknya kamu bertawakkal jika kamu benar-benar beriman".
Jangan lupa mengadu kepada Allah sekiranya hidup seringkali ditimpa kegelisahan dan kesempitan. Maka ucaplah Hasbunallah Wanikmal Wakil yang bermaksud :, Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.".(Az-Zumar:10).
Sebagai kesimpulannya, tiada masalah tanpa penyelesaiannya. Kita harus mengkaji dan meneliti, sebagaimana setiap penyakit mempunyai penawarnya. Anggaplah musibah itu sebagai tiket untuk mendekati Allah dan sebagai jalan menuju bahagia. Ingatlah janji Allah di dalam surah Al-Insyirah bahawa sesudah kesulitan ada kemudahan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...